Penjaga Gol Dan Kapitalisme

No comments

Posisi dan tugas hakiki penjaga gol dalam bolasepak sebenarnya boleh kita persoalkan. Apakah tugas sebenar penjaga gol?


"Menjaga gol."


"Memastikan bola tidak memasuki gol."


"Menggunakan tangan, kaki, badan, kepala, telinga dalam memastikan bola tidak memasuki jaring gol."


Apakah watak sebenar seorang penjaga gol? Tahukah anda bahawa penjaga gol merupakan satu posisi istimewa dalam bolasepak. Tahukah anda bahawa penjaga gol merupakan satu-satu posisi dimana mereka boleh bercekak pinggang semasa bermain bola dan satu-satu pemain yang jarang menoleh kebelakang semasa bermain seperti pemain-pemain bola lain? Tahukah anda?


Jika anda tidak tahu maka anda adalah di kalangan peminat-peminat bolasepak yang mengecewakan dan tidak menghayati falsafah sebenar bolasepak seperti saya. Kecerdikan saya sangat luar biasa dan sebab itu saya memanggil diri saya HAMKi dan karya falsafah bolasepak saya di baca oleh peminat bolasepok Pahang kerana peminat bolo Pahang steady.


Sebenarnya penjaga gol merupakan satu posisi yang bebas dalam bolasepak. Penjaga gol boleh naik dan turun dan boleh berada di mana-mana posisi dalam setiap perlawanan. Dia bebas naik dan turun dan tapi ingat kuasa sebenar penjaga gol ialah dalam kawasan D. Di situ mereka bebas menangkap bola, menempis, menumbuk atau menyepak bola.


Pada pandangan saya, penjaga gol adalah watak kapitalisme dalam masyarakat kita. Kapitalisme adalah watak ganas dalam pasaran ekonomi dunia yang mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda sampai kiamat. Kapitalisme adalah bahaya untuk masyarakat dan kita harus ingat bahawa kehadiran pengadil dalam perlawanan bolasepak di ibaratkan sebagai kerajaan yang mengawal keganasan kapitalisme dalam pasaran ekonomi dunia ini. Kapitalisme dan penjaga gol adalah dua watak yang sama dan juga bahaya. Mereka boleh menjadi sangat gila, bahaya dan kadang-kadang di angkat sebagai wira. Mereka juga kelihatan agak sombong, tidak mahu mengakui kesalahan diri sendiri dan kerap menyalahi orang lain jika berlaku kesilapan. Apabila mereka takut mereka akan memanggil orang-orang lain untuk turun menyelamat gol. Namun kekadang wujud moralisme dalam kapitalisme seperti yang di tulis oleh Adam Smiths terutamanya tentang penilaian moral dan memposisikan bahawa kapitalisme itu baik dalam masyarakat.


Apabila Pahang menang dengan JDT menerusi sepakan penalti dan keeper di angkat sebagai wira maka kita mengangkat penjaga gol sebagai wirawan perlawanan. Maka hilang sudah penilaian moral yang buruk tentang penjaga gol kerana kita cuba berlaku adil terhadap penyelamat yang kita lihat sombong, bongkak dan mementingkan diri sendiri.


Notabola : Artikel ini di tulis bagi mengenang jasa-jasa bekas penjaga gol punk dari kelab St Pauli, Volker Ippeg.

No comments :

Post a Comment