TEMURAMAH BOLO: Paolo Madini

No comments



Buat julung-julung kalinya BOLOSEPOK telah menghantar Mat Tiara untuk menginterbiu seorang penggerak sukan Malaysia yang bergerak dalam bentuk penulisan iaitu Ismadi a.k.a. Paolo Madini. Beliau yang berasal dari Bentong, Pahang kini bertugas sebagai Pegawai Penerbit di RTM Angkasapuri. Bekas pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM ini juga merupakan orang kuat Persatuan Penulis Sukan Malaysia dan banyak menghabiskan masanya di Wisma FAM. Kerana pengalaman Paolo Madini yang banyak berkaitan dunia bolo sepok Malaysia dan beliau juga berasal dari Pahang adalah molek kiranya beliau ditemuramah.


Assalamualaikum dan apa khabar saudara?


Khabar baik dan Alhamdulillah.




Sebelum saya tanya soalan seterusnya betul ke makwe-makwe Fakulti Mass Comm UiTM tempat saudara belajar dulu malas pergi kelas dan hanya pandai bersolek aje?


Kah kah kah... awek-awek Mass Comm bukan saja pandai bersolek tapi juga rajin pegi kelas dan buat assignment... termasuklah assignment saya pun diorang tolong buatkan.



Saudara baru sahaja menonton perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Larkin baru-baru ini. Adakah saudara terkejut dengan persembahan yang dipamerkan oleh JDT?


Secara ikhlas, memang terkejut kerana JDT menampilkan permainan yang sangat pantas, hantaran-hantaran pendek serta disiplin yang tinggi oleh semua pemain. Strategi meletakkan Junior Eldstal sebagai centre back sangat berkesan begitu juga dengan S.Kunalan yang berjaya merantai Gopi.... Ikhlas, Pahang terperangkap dengan corak permainan JDT pada malam itu.



Adakah pahang terlalu berharap kepada Alex? Pemain bola paling power dari Kampung Relong, Kuala Lipis?


Tidak dinafikan sumbangan Alex Lepeh begitu besar buat skuad Tok Gajah pada musim lepas, namun Alex masih lagi dalam keadaan yang belum cergas sepenuhnya akibat kecederaan. Maka, pemain-pemain lain seharusnya bersedia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alex, dan seharusnya juga memiliki keupayaan yang setara.



Pada pandangan saudara adakah Pahang atau JDT yang akan melangkah lebih jauh dalam Piala AFC nanti?


Secara jujurnya... saya mahu melihat Pahang melangkah jauh dalam Piala AFC, dan JDT layak beraksi di Liga Juara-Juara AFC.



Sebagai seorang bekas pemain bola sekolah dan universiti apakah pandangan saudara tentang Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang dikatakan gagal menarik pemain-pemain bola sepak Malaysia untuk menyertainya?


PFAM ini merupakan satu badan yang diiktiraf FIFA bagi menjaga kebajikan pemain-pemain pro dalam Liga Malaysia. Mungkin di peringkat awal para pemain tidak sedar peranan yang dimainkan oleh PFAM, dan amat penting bagi PFAM menerangkan objektif penubuhan mereka serta keistimewaan yang bakal diperoleh oleh para pemain dengan menjadi ahli. PFAM masih baru dan saya percaya sedikit masa lagi semua pemain bakal menjadi ahli PFAM sekiranya ditadbir urus dengan baik.



Sejauh mana kedudukan media dalam isu-isu seperti "perebutan jawatan dan kemelut kepimpinan dalam persatuan" contohnya sewaktu pemilihan Presiden FAM. Adalah SAM berada dalam keadaan bebas sepenuhnya?


Media sentiasa bebas... iaitu tidak memilih side dalam apa jua situasi. itu perkara asas dalam bidang kewartawanan.



Pada tahun 2014, Pelan Pembangunan Bolasepak Negara Fasa 1 (2014-2020) telah dilancarkan. Secara profesional apa pandangan saudara tentang pelan pembangunan ini? Benarkan bola sepak kita perlukan DNA bola sepak? Adakah Lim Teong Kim individu yang sesuai untuk mengetuai misi nasional ini?


Saya melihat NFDP ini adalah kesinambungan Program Tunas Cemerlang Bola Sepak yang pernah dijalankan tidak lama dulu. NFDP bukan program baru, tetapi ia adalah program rebranding yang kemudiannya diangkat sebagai kertas kabinet. Saya tidak menolak sebarang usaha untuk membangunkan bola sepak di Malaysia, tetapi ia perlu dilaksanakan secara telus dan jujur tanpa penyelewengan dan berkepentingan peribadi.


Berhubung dengan DNA bola sepak, saya lebih berminat untuk melihat kemunculan pemain-pemain yang faham mengenai bola sepak, dan boleh menyesuaikan diri dengan apa juga bentuk taktikal yang dirancang oleh jurulatih. Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi ibarat sudah menjadi alasan wajib untuk sebarang program dijalankan, namun hakikatnya adakah ia benar-benar berlaku? Harus diingat, sasaran utama NFDP fasa pertama adalah melangkah ke Piala Dunia U17 pada 2020, dan kerana itu mereka menumpukan perhatian kepada peringkat umur 12-13 tahun ketika ini.


Berhubung pelantikan Teong Kim, akhirnya bekas penjaring gol ketika Final Sukan Sea 89 itu menerima juga pelawaan untuk kembali ke Malaysia. Tetapi kenapa??? FAM sebelum ini beberapa kali menawarkan tempat kepada Teong Kim tetapi ditolak dengan pelbagai alasan termasuklah prasarana yang tidak sempurna. Kali ini dia tidak menolak setelah berbelas tahun berkelana ke Jerman. Mungkin Pep Guardiola tidak memasukkan Teong Kim dalam perancangannya di Bayern Munich lalu meletakkan Teong Kim dalam keadaan tidak punya pilihan selain pulang ke Malaysia. Jika ditanya adakah Teong Kim sesuai untuk mengetuai program NFDP ini, saya harap dia sesuai....



Saudara kenapa ada jurulatih bolasepak melarikan diri / meletak jawatan dari NFDP baru-baru ini?


Itulah yang saya katakan tadi, saya harap dia sesuai. Peletakan jawatan 6 jurulatih dari program NFDP sebenarnya satu tamparan hebat kepada Teong Kim dan Menteri Belia dan Sukan iaitu KJ sendiri. Mereka boleh menipu masyarakat dengan mengatakan program tidak terjejas atau apa saja alasan... tetapi hakikatnya pengunduran 6 jurulatih termasuk abang Teong Kim sendiri iaitu Lim Chuan Chin membuktikan kecelaruan dalam urusan pentadbiran NFDP. Adalah tidak adil untuk menyalahkan 6 jurulatih tersebut kerana gagal mengadaptasi sistem kejurulatihan Teong Kim sedangkan banyak isu-isu lain kedengaran.



Berbalik kepada bola sepak Pahang, pada pandangan saudara mampukah Pahang menjuarai sebarang piala pada musim ini?


Berdasarkan kombinasi pemain yang 90 peratus sama, seharusnya Pahang mampu untuk meraih satu piala. Meskipun tidak melabur besar berbanding pasukan pasukan lain, Pahang mampu untuk menjulang satu piala, dan saya harap ia kejuaraan Liga Super ataupun Piala FA yang menjamin tempat di pentas AFC.



Sekiranya saudara menjadi Jurulatih Pahang, apa jenis taktikal dan formasi yang anda akan gunakan dan siapa pemain yang anda akan ambil untuk memastikan Pahang bertambah kuat dan power?


Ini soalan bonus... kerana semua orang nak bercakap pasal bola tetapi bukan semua arif dalam bola sepak. Saya juga bukan pakar dalam bidang kejurulatihan tetapi sebagai peminat bola sepak, saya percaya kepada speed dan teamwork. Menyerang adalah pertahanan terbaik. Saya lebih gemar untuk melihat pasukan bermain dengan hantaran pendek, kemas dan pantas... padat di midfield dan sesekali menggunakan kepantasan untuk masuk dari bahagian tepi. 4-5-1 atau 3-5-2 merupakan formasi kegemaran saya. Siapa pemain yang saya akan ambil dalam situasi bola sepak sekarang untuk memantapkan Pahang? Saya sangat berminat dengan Nazrin Nawi dan pemain midfield Thailand, Chanathip Songkrasin.



Apa harapan saudara untuk bola sepak Malaysia dan juga Pahang?


Saya harap dan saya tahu anda juga harap bola sepak Malaysia akan lebih maju. Bukan sekadar Piala AFF atau kejohanan peringkat umur, tetapi kita mahu melihat Malaysia beraksi di Piala Asia. Mara dulu ke Piala Asia, selepas itu barulah kita berbicara mengenai Piala Dunia. Pasukan Pahang pula, saya ingin melihat Tok gajah menjulang kejuaraan Piala AFC musim ini.



Apa pula harapan saudara untuk peminat tegar Pahang yang membaca BOLOSEPOK ini.


BOLOSEPOK merupakan satu lagi "warna" dalam bola sepak Malaysia terutama bagi peminat-peminat Pahang. Saya berharap biarlah "warna" itu warna yang ceria dan bukanlah dipalit dengan kisah-kisah yang mengaibkan. Menyokong Pahang biarlah dengan bermaruah.



Terima kasih, saudara.


Terima kasih kembali.

No comments :

Post a Comment