Editorial 3: Hari Kekasih Kita Besok Adalah Kepada Bolo!
Hai mat mat dan minah minah bola.
Sepatutnya aku menulis ruangan Editorial BOLOSEPOK ini pada hari Isnin yang lalu. Tapi aku sibuk. Apa pun alhamdulillah JDT kalah. Baru mereka tahu langit tinggi rendah. Hari hari bangga dengan fasiliti lepas tu skor gol pun tak reti.
Beberapa hari lepas, aku ke Kuantan. Aku ke sana untuk menghadiri majlis kahwin pemain gitar kumpulan Primary, sebuah kumpulan muzik terkenal. Dari Kuala Lipis perjalanan ke sana mengambil masa lebih tiga jam setelah merentas hutan dan bukit-bukau yang menghijau, menyeberang Sungai Pahang yang lebar tenang dan melintasi sekawan naga bergurau-senda di dalam tasik yang terbentang luas. Ternyata Pahang sebuah negeri yang besar jajah takluknya sementara pasukan bolanya pula bagus bagus belaka.
Aku melihat Kuantan hari ini tidak seperti dahulu. Orangnya ramai dan berjalan deras. Kotanya sibuk sehingga lewat malam seakan-akan sentiasa meraikan kejuaraan bola. Namun udaranya masih membuat aku terasa seperti pulang ke rumah lebih-lebih lagi bila melihat Stadium Darul Makmur.
Kuantan bukan tempat asing bagi aku. Aku dilahirkan di sana dan dibesarkan berhampiran Stadium Darul Makmur iaitu stadium rasmi pasukan Juara Piala Malaysia 1983, 1992, 2013 dan 2014. Tempat letak kereta Stadium Darul Makmur pernah menjadi gelanggang aku menguji basikal. Tetapi hubungan aku yang begitu rapat dengan stadium itu tidak pula menjadikan aku seorang ultras pada hari ini.
Aku tinggal di Transit Quarters iaitu kawasan perumahan tua yang mana seni binanya tidak dijumpa lagi pada hari ini. Paling aku ingat tempat letak kereta duduknya di dalam rumah dan rumah aku punya sebuah cerobong asap. Bila Krismas tiba, Santa Claus akan datang ke kawasan rumah aku terlebih dahulu.
Pada masa itu, siapa yang tidak tahu Transit Quarters? Di situlah tinggalnya pemain-pemain bola terulung negeri Pahang. Antaranya Jamal Nasir, Azizul dan Azahar Kamaluddin, Wan Hamizan dan aku. Hampir semua pemain bola Pahang pernah ke Transit Quarters. Malah pemain import juga tidak ketinggalan untuk datang makan nasi di Transit Quarters.
Aku masih ingat, setiap kali berlangsungnya perlawanan di Stadium Darul Makmur, cahaya lampu limpah turut sama menerangi Transit Quarters. Aku akan duduk di halaman rumah dan merenung tiang lampu Stadium Darul Makmur sambil abang aku dan kawan-kawannya berjalan kaki beramai-ramai meninggalkan aku untuk ke stadium. Panas juga hati aku kena tinggal. Maka kalau abah aku pun malas nak ke stadium, terpaksalah aku mengira gol kemenangan Pahang berdasarkan berapa kali penyokong Pahang bersorak kuat.
Itulah Kuantan di ingatanku. Hari ini Transit Quarters telah bertukar menjadi East Coast Mall.
Hasbullah Awang dan Tuan Guru Nik Aziz
Perginya mereka hari semalam meninggalkan berbagai perasaan kepada seluruh negara. Hasbullah Awang sungguh sinonim dengan bola sepak Malaysia. Bagi aku Hasbullah Awang bukan sekadar pengulas sukan, beliau juga adalah majalah sukan secara live ketika zaman kemuncaknya. Tidak ada pengulas sukan yang boleh memasukkan pekerjaan bapa pemain bola, makanan kegemaran pemain bola dan bilangan adik beradik pemain bola dalam ulasan bola sepak mereka selain Hasbullah Awang. Hanya dia yang melakukannya dan suaranya pasti akan sentiasa terngiang-ngiang di telinga seluruh peminat sukan walaupun beliau telah pergi untuk selamanya.
Aku mempunyai satu kenangan bersama Hasbullah Awang pada satu masa dahulu- ketika darjah 1. Sedang aku berjalan kaki melewati barisan rumah Transit Quarters menghala ke Stadium Darul Makmur, aku berselisih dengan Hasbullah Awang yang sedang menuju salah satu rumah di situ. Tanpa berlengah, aku mengangkat kening kepada Hasbullah Awang sebagai tanda solidariti bola sepak negara. Begitulah serba-sedikit kenanganku bersama Hasbullah Awang.
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pula adalah seorang tokoh yang disegani dan dikagumi seluruh lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan pasukan bola mana yang disokong. Tidak ada yang tidak menghormatinya. Meminjam kata seorang kawan, "punk, rempit, rockers, budak dadah atau mat minah kelab malam ke, semuanya punya rasa hormat dan kagum kepada Tuan Guru Nik Aziz. Hanya setan aje yang tak suka."
Untuk mat mat dan minah minah bola, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat semasa hayatnya ada berpesan;
"Solat dahulu sebelum menonton bola."
Selangor
Aku meluat setiap kali akhbar menulis 'Juara 32 kali Piala Malaysia' di dalam berita-berita mengenai Selangor. Bagi aku Piala Malaysia sebenar bermula pada tahun 1982 di mana liga kompetitif mula diperkenalkan di Malaysia. Oleh demikian hanya pasukan yang terbaik dari liga saja yang akan bertanding di Piala Malaysia. Apa yang terjadi selepas itu? Apa yang terjadi bila bola sepak diuruskan dengan baik? Pada tahun 1983 Pahang bergelar juara Piala Malaysia menamatkan penguasaan Selangor untuk sekali lagi melakukan hatrik. Power, Pahang. Power....
Hari besok Pahang akan bertemu Selangor lagi sekali dalam kempen Liga Super. Bagi aku malam besok adalah masa yang terbaik untuk memusnahkan selangor. Rekod pertemuan Pahang dengan Selangor pada musim 2013 dan 2014 ternyata tidak menyebelahi kita walaupun Selangor ketika itu pasukan yang hancur. Aku pun tak faham. Macam ada misteri yang perlu dikaji oleh BOLOSEPOK.
Tapi apa pun Selangor tahun ini lebih hancur. Dan malam besok aku meramalkan Pahang menang bergaya ke atas pasukan yang sudah hatrik berkempen Misi 33 ini. Jumpa lagi.
Nota Bolo:
Bagi mat mat bola sebenar, nombor 1 adalah bola, dan makwe nombor 2 atau 3. Jadi Hari kekasih kita besok adalah kepada bola!
No comments :
Post a Comment