Kontributor: Taksub Yang Membunuh
Selamat pagi,
Peti e-mel BOLOSEPOK baru sahaja menerima kiriman sebuah artikel yang ditulis oleh Saiful Zamir. Tanpa sebarang suntingan kami siarkannya di sini untuk tatapan pembaca. Sekian, enjoy!
Salam sejahtera buat semua peminat bola sepak tempatan. Harapnya semua sihat-sihat belaka dan bersemangat untuk menikmati kembali bola sepak tempatan. Ketika saya menulis artikel ini, pertembungan seteru utama di antara pasukan tulen, Pahang FA menentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bagi merebut Piala Sumbangsih hanya berbaki dua belas jam sebelum sepak mula. Sementara menunggu sepak mula pertemuan ini, ketegangan di antara penyokong kedua-dua pasukan ini semakin membara. Mungkin masih ramai yang terkesan dengan kejadian yang berlaku di Stadium Darul Makmur semasa separuh akhir Piala FA dua tahun lepas. Semakin dekat dengan pertembungan Piala Sumbangsih ini, semakin rancak penyokong baik dari pasukan Pahang mahu pun pasukan JDT yang mengeluarkan hujah dan pendapat masing-masing bagi menaikkan nama pasukan kesayangan mereka. Jadi, izinkan saya untuk menulis tentang perbezaan di antara penyokong kedua pasukan ini.
Perkara yang membezakan penyokong pasukan Pahang dan penyokong pasukan JDT adalah tahap ketaksuban kepada pemimpin bola sepak mereka. Saya secara jujur kurang gemar dengan mereka-mereka yang taksub kepada seseorang secara berlebihan. Mengapa saya tidak menyukai golongan ini? Ini kerana apabila kita menjadi taksub kepada seseorang, kita cenderung untuk mengagung-agungkan seseorang itu secara membabi buta. Kita mula melabel orang itu sebagai sempurna, tiada cacat cela, tidak melakukan sebarang kesilapan, dan segala yang keluar dari mulut beliau adalah betul sahaja, tiada langsung salah. Perkara-perkara seperti ini jika dibiarkan menular di dalam sukan bola sepak, ia boleh memberi impak yang buruk.
Berbalik kepada penyokong Pahang dan penyokong JDT tadi, saya boleh bezakan dengan tahap ketaksuban mereka terhadap pemimpin persatuan bola sepak mereka. Kita semua boleh lihat dengan mata kepala sendiri bahawa penyokong Pahang itu tidak taksub terhadap pemimpin bola sepak mereka. Hal ini jauh berbeza dengan para penyokong pasukan dari Selatan. Saya tidak pernah nampak lagi penyokong pasukan Pahang update status Facebook atau tweet di twitter dengan menulis “Hidup dan matiku adalah demi Tengku Muda Pahang”. Untuk makluman, Tengku Muda Pahang iaitu YM Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP). Sebagai perbandingan, kita biasa melihat para penyokong JDT menulis “Hidup matiku bersama TMJ” “Kami sentiasa di belakang TMJ” dan pelbagai lagi kata-kata berbau taksub melampau yang tidak sanggup untuk saya tulis di sini.
Seperti yang saya nyatakan di atas tadi, apabila kita menjadi taksub, kita tidak nampak apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu. Apabila sudah terlalu taksub kepada TMJ, maka segala apa yang diperkatakan dan keputusan yang dibuat oleh TMJ akan diterima secara bulat-bulat. Perkara ini tidak bagus untuk pembangunan bola sepak. Saya masih ingat pada tahun 2012, usai satu Kongres Luar Biasa oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berlangsung, TMJ mencadangkan agar hanya sebuah pasukan dari Johor yang beraksi di dalam Liga Malaysia. Untuk makluman, Kongres Luar Biasa itu diadakan bagi member laluan kepada perlantikan TMJ selaku Presiden baru PBNJ. Saya juga tidak pernah dengar Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) mengadakan Kongres Luar Biasa untuk melantik seorang Presiden.
Apabila TMJ selaku Presiden baru PBNJ ketika itu menyuarakan hasrat untuk membenarkan hanya sebuah pasukan dari negeri Johor beraksi di dalam Liga M, ia menimbulkan tanda tanya akan nasib tiga lagi pasukan dari Johor dalam Liga M iaitu Johor FC, Johor MBJB dan juga MP Muar. Timbul kebimbangan bahawa ketiga-tiga pasukan ini bakal dibubarkan demi memberi peluang kepada pasukan Johor kembali bersinar. Kerana sifat taksub kepada pemimpin bola sepak mereka, maka ramailah yang menyokong keputusan yangsebenarnya bakal mendatangkan bahaya kepada pembangunan bola sepak. Dan akhirnya, Johor MBJB dan MP Muar betul-betul dibubarkan. Pasukan Johor FC dikekalkan tetapi telah diambil alih dan dijenamakan semula sebagai Johor Darul Takzim (JDT). Namun selepas itu, saya tidak nampak pasukan Johor tulen, (JDT2) mengalami peningkatan walaupun selepas Johor MBJB dan MP Muar dibubarkan. Malah, pada tahun lepas hampir sahaja pasukan JDT2 ini terlepas slot ke Piala Malaysia yang akhirnya dijuarai oleh pasukan Pahang.
Dua tahun sesudah membunuh Johor MBJB dan MP Muar, tangan yang sama itu menubuhkan pula JDT 3 serta JDT 4 dan kemudian bersorak terpekik melolong la pula para penyokong taksub ini mengatakan pemimpin bola sepak mereka ini adalah genius, pemimpin yang benar-benar akan membangunkan bola sepak tempatan. Sedangkan jika diamati secara mendalam, kita tidak memerlukan pasukan JDT 3, JDT 4 ini jika pasukan Johor MBJB dan MP Muar tidak dibubarkan dua tahun lepas. Kerana kepandaian TMJ serta sokongan tidak berbelah bagi daripada para penyokong yang taksub kepada beliau, kita telah hilang dua buah pasukan yang mungkin boleh meningkat dengan banyak dalam masa dua tahun ini.
Jadi harapnya buanglah sikap taksub yang keterlaluan terhadap seseorang ini kerana ia cenderung membawa kepada keburukan daripada kebaikan. Buat apa kita menyokong keputusan yang boleh memberi bahaya kepada bola sepak itu sendiri, sedangkan kita sebenarnya ada pilihan untuk membuat keputusan. Akhir kata, semoga Pahang menjadi juara Piala AFC pada tahun ini.
Saiful Zamir (saifulzamir at yahoo dot com dot my)
No comments :
Post a Comment